Iskandar Samad mendakwa realiti politik semasa menunjukkan Bersatu sukar lagi berfungsi dalam PN.
PETALING JAYA: Bersatu sepatutnya memahami realiti politik dalam Perikatan Nasional (PN) selepas PAS membuat keputusan untuk tidak lagi bekerjasama dengan parti itu, kata Bendahari Agung PAS, Iskandar Samad.
Mengulas kenyataan bekas pegawai Muhyiddin Yassin Marzuki Mohamad bahawa Bersatu tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada PN, Iskandar berkata kedudukan parti itu kini ‘tidak dapat dipertahankan’.
Iskandar Samad.
Katanya, walaupun beliau tidak mahu mengulas aspek perlembagaan PN, realiti politik semasa menunjukkan Bersatu sukar untuk terus berfungsi secara berkesan dalam gabungan berkenaan.
“Mereka seperti berada di dalam rumah, tetapi terkunci di dalam bilik tidur. Walaupun masih di dalam rumah, mereka tidak dapat bergerak ke mana-mana.
“Bersatu tidak perlu bimbang kerana mereka masih ada Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) sebagai tempat untuk bersandar,” katanya kepada FMT.
Semalam, Marzuki berkata Bersatu tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada PN kerana sebarang tindakan disiplin terhadap parti anggota tertakluk kepada keputusan majlis presiden
Menurutnya, perkara itu diperuntukkan di bawah Fasal 7A perlembagaan gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula berkata parti itu setakat ini belum membincangkan sebarang cadangan untuk memecat Bersatu daripada PN.
Ahmad Fadhli Shaari.
Beliau berkata, kedudukan Bersatu dalam gabungan itu masih kekal seperti biasa, termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang masih memegang jawatan timbalan pengerusi PN.
“Jika Parti Wawasan diterima masuk sebagai parti anggota Perikatan Nasional, boleh jadi presidennya (Hamzah Zainudin) akan duduk bersebelahan dengan presiden Bersatu,” katanya.
Presiden PAS Hadi Awang dan Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini berkata terpulang kepada Bersatu sama ada mahu terus kekal atau meninggalkan gabungan itu.
Hadi sebelum ini berkata PAS sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan Bersatu, manakala Samsuri berkata kedudukan parti itu dalam PN akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan akan datang.
Pada 12 Jun lalu, Hadi berkata kedudukan Bersatu sebagai komponen PN dijangka terjawab dalam mesyuarat parti itu.
Beliau turut berkata, penyingkiran sesebuah parti daripada PN bergantung kepada keputusan majoriti parti komponen gabungan itu.
PN ketika ini mempunyai empat parti komponen, iaitu PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).


