MB Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor dapat manfaat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menegaskan kerajaan negeri tidak pernah bersikap sombong untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, sebaliknya sentiasa melengkapi usaha pelbagai kementerian demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, pentadbiran negeri sentiasa terbuka menerima pandangan dan bantuan daripada Putrajaya, namun pada masa sama perlu berpegang pada prinsip, amanah serta tanggungjawab terhadap institusi diraja dan kesejahteraan rakyat Johor.
“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada institusi diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara.
“Malah, dalam banyak perkara, kerajaan negeri turut membantu melengkapi usaha kementerian-kementerian persekutuan demi kepentingan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar rakyat Johor memilih kepimpinan negeri yang bijak dan tidak sombong serta sealiran dengan Putrajaya bagi membolehkan suatu dasar dilaksanakan dengan mudah.
Dalam ucapannya ketika ceramah Pakatan Harapan (PH) di Bakri, Muar, Anwar yang juga pengerusi PH berkata, ciri kepemimpinan seumpama itu amat penting bagi membolehkan keputusan yang berani dibuat.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz menyenaraikan pelbagai bentuk kerjasama kerajaan negeri dengan agensi persekutuan, termasuk bantuan tahunan kepada sekolah dan bilik guru, walaupun sector pendidikan merupakan tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut membantu operasi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), IPD serta kem tentera, walaupun perkara itu terletak di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.
Bantuan turut disalurkan kepada hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam, yang merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan, tambahnya.
“Kami berbuat demikian kerana bagi kerajaan negeri, yang lebih utama bukanlah kementerian atau kerajaan mana yang bertanggungjawab, tetapi sama ada rakyat Johor mendapat manfaat.
“Bukanlah niat saya untuk mengungkit atau berbangga dengan perkara ini. Tetapi saya dengan rendah hati ingin bertanya, dalam perkara apakah kerajaan Johor dikatakan tidak memberikan kerjasama, tidak menyokong atau tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan?” soalnya.


