Mahkamah Rayuan perintah Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd dan kerajaan bayar RM468,980 kepada waris Norhamizah Mahadi, yang maut dalam nahas di KM28 Jalan Tampin-Gemas pada 12 Feb 2020.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan sebuah syarikat utiliti berkaitan kerajaan Negeri Sembilan agar membayar 80% daripada hampir RM469,000 ganti rugi selepas membenarkan rayuan oleh waris seorang wanita berhubung jumlah pampasan yang diputuskan dalam satu saman cuai.
Baki 20% lagi perlu ditanggung oleh kerajaan persekutuan, memandangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut didapati bertanggungjawab oleh mahkamah perbicaraan dua tahun lepas.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Alwi Abdul Wahab memerintahkan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd dan kerajaan membayar RM468,980 bagi kehilangan tempat bergantung serta kecederaan yang dialami oleh penumpang dalam kereta dipandu oleh Norhamizah Mahadi, yang maut dalam nahas tersebut.
Hakim Shahnaz Sulaiman dan Amarjeet Singh, yang bersidang bersama Alwi, turut memerintahkan syarikat tersebut membayar kos RM15,000 kepada waris Norhamizah dan RM30,000 lagi kepada pihak kerajaan.
Tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak waris terhadap dapatan Mahkamah Sesyen Kuala Pilah bahawa Norhamizah menyumbang 10% kecuaian dalam kemalangan itu, lalu menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM270,000 kepada warisnya.
Mahkamah Sesyen sebelum ini membahagikan liabiliti sebanyak 70% terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan, 20% terhadap JKR dan kerajaan, serta 10% terhadap Norhamizah.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membahagikan semula liabiliti tersebut dengan menetapkan 80% kepada syarikat berkenaan dan 20% kepada pihak kerajaan.
Suami Norhamizah, Luqman Hakim Hendon, dan anak-anak remaja pasangan itu, Akram Syathir, Dhia Sakinah, serta Afkar Assyakirin, berada di dalam kereta semasa nahas yang berlaku pada 12 Feb 2020 di KM28 Jalan Tampin-Gemas. Luqman mengalami kecederaan parah.
Pihak waris menamakan syarikat tersebut, JKR, dan kerajaan sebagai defendan, dengan mendakwa bahawa kenderaan itu terlanggar lubang besar akibat kebocoran paip air bawah tanah, yang menyebabkan Norhamizah hilang kawalan lalu terbabas.
Mereka berhujah, syarikat itu bertanggungjawab menyelenggara paip air bawah tanah tersebut, manakala JKR bertanggungjawab ke atas jalan yang tiada lampu jalan itu.
Syarikat tersebut dan JKR merayu keputusan Mahkamah Sesyen, namun Mahkamah Tinggi menolak rayuan tersebut.
Di Mahkamah Rayuan, syarikat itu turut mencabar dapatan mengenai liabiliti dan memohon agar JKR menanggung 80% daripada ganti rugi tersebut. Mahkamah Rayuan bagaimanapun menolak kedua-dua hujah itu.
Peguam Ariff Abu Bakar, Aizat Akmal Zamri, dan Anis Aqilah Ashbakhri mewakili pihak waris, manakala Aisha Jothilingam dan Komathi Raman mewakili syarikat tersebut.
Sementara itu, Peguam Persekutuan Amalina Zainal Mokhtar dan Shafiq Sazalli bertindak bagi pihak kerajaan.


