Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur benarkan permohonan Anwar Ibrahim untuk membatalkan sepina yang dikeluarkan pada 15 Jan.
PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan sepina menghendaki Perdana Menteri Anwar Ibrahim hadir sebagai saksi dalam saman sivil RM30 juta difailkan 12 individu terhadap ahli perniagaan Vinod Balachandra Sekhar dan isterinya, Winny Yeap.
Saman itu difailkan pada 2023 oleh 10 pelabur dan dua bekas pekerja Vinod yang mendakwa berlaku salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.
Pesuruhjaya Kehakiman Adam @ Edward Abdullah membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan sepina yang dikeluarkan pada 15 Jan.
Beliau memutuskan bahawa plaintif gagal membuktikan perdana menteri ialah saksi yang relevan dan penting dalam prosiding itu.
“Tiada tujuan untuk memaksa beliau hadir. Tindakan sedemikian akan membebankan dan mengalih tumpuan perbicaraan daripada isu undang-undang sebenar.
“Plaintif bergantung kepada gambar, hantaran media sosial dan kemunculan awam yang membabitkan Anwar dan Vinod.
“Pada tahap paling tinggi sekalipun, bahan-bahan itu hanya mungkin menunjukkan mereka saling mengenali atau mempunyai hubungan. Namun, ia tidak membuktikan pemohon mempunyai pengetahuan peribadi mengenai transaksi yang diplidkan. Sesuatu hubungan tidak semestinya menjadikan seseorang itu saksi penting,” katanya.
Mahkamah turut menegaskan bahawa pengeluaran sepina bukan sesuatu yang berlaku secara automatik, sebaliknya mesti tertakluk kepada kawalan kehakiman.
“Jika tidak, sesiapa sahaja yang disebut dalam e-mel, bergambar dengan mana-mana pihak atau dirujuk dalam perbualan boleh dipaksa hadir ke mahkamah. Itu bukan undang-undang,” kata hakim itu.
Adam juga mengambil maklum bahawa walaupun plaintif berhujah nama Anwar digunakan untuk melakukan penipuan, saksi mereka sendiri mengakui tiada bukti menunjukkan nama perdana menteri digunakan untuk mendapatkan pelaburan atau wang.
“Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pemohon untuk membatalkan sepina,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada Anwar.
Peguam Sanjay Mohan mewakili perdana menteri, manakala peguam Colin Andrew Pereira mewakili plaintif.
Plaintif mendakwa Vinod memujuk mereka melabur, sama ada secara peribadi atau melalui syarikatnya, tanpa mendedahkan status muflisnya yang didakwa.
Mereka juga mendakwa kebimbangan yang dibangkitkan dalam e-mel bertarikh 30 Sept 2020 ditolak oleh Vinod. Vinod didakwa menyatakan bahawa seseorang bernama “Anwar” akan menyelesaikan perkara itu, menyebabkan mereka percaya rujukan itu merujuk kepada perdana menteri.

