Keadaan MPV yang dinaiki dua beradik selepas terbabit kemalangan di KM24, Jalan Temerloh-Jerantut, dekat Jengka 19, Maran. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua beradik maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka bertembung sebuah kereta di KM24, Jalan Temerloh-Jerantut, dekat Jengka 19, Maran, semalam.
Pemandu MPV, Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dan adiknya, Dinie Nasuha Noor, 19, dari Gau, Temerloh maut dalam nahas 7.25 malam Jumaat.
Ketua Polis Maran, Wong Kim Wai, berkata MPV dalam perjalanan dari arah Bandar Jengka ke Temerloh itu memasuki lorong kanan ketika memotong sebuah motosikal, sebelum bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan.
Beliau berkata, dua beradik itu maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta pula dilaporkan cedera parah.
Menurutnya, mayat dua beradik itu dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat, sementara pemandu kereta terbabit dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut,” katanya menurut Harian Metro.


