Perdana Menteri Anwar Ibrahim hadir majlis pelancaran kilang Super Center MKS Instruments di Batu Kawan, Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
SEBERANG PERAI: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif MKS Instruments, John Lee sebagai penasihatnya bagi membantu memperkukuh kerjasama antara industri semikonduktor dengan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, Malaysia mesti terus belajar daripada peneraju industri serta memanfaatkan pengalaman dan kepakaran mereka, terutamanya dalam bidang berkembang pesat seperti semikonduktor dan teknologi termaju.
Anwar berkata, pengalaman Lee dalam industri semikonduktor dijangka membantu kerajaan mengenal pasti langkah menambah baik dasar, kemudahan, dan pembangunan bakat bagi menyokong pelaburan teknologi tinggi.
“Kita tidak ada semua jawapan dan kita juga tidak mengatakan tahu segala-galanya, terutama apabila teknologi tersebut adalah baharu,” katanya pada majlis pelancaran kilang Super Center MKS Instruments di Batu Kawan.
“Sebab itulah saya melantik beliau (Lee) sebagai penasihat,” katanya sambil menambah Lee tidak akan menerima sebarang elaun bagi peranan berkenaan.
Anwar berkata, Lee juga akan memberikan input mengenai bagaimana Malaysia boleh mempermudah dan mempercepatkan lagi pelaburan dalam sektor teknologi baharu yang sedang berkembang.
Beliau berkata, kerjasama lebih kukuh antara universiti dan pihak industri cukup diperlukan bagi memastikan graduan dilengkapi kemahiran relevan dengan sektor baharu tersebut.
MKS Instruments melabur USD100 juta untuk pembangunan kilang tersebut yang dijangka bakal menyediakan hampir 1,000 peluang kerja.
Kemudahan itu menyokong pengeluaran peralatan fabrikasi wafer bagi pasaran semikonduktor serantau dan global.

