Pemimpin Umno Jamal Yunos diperintahkan membayar ganti rugi dan kos lebih RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selepas didapati bersalah memfitnahnya.
PETALING JAYA: Lelongan awam 14 barang dirampas dari rumah Ketua Umno Sungai Besar, Jamal Yunos yang dijadualkan Isnin ini dibatalkan selepas beliau membayar RM66,600 untuk menjelaskan hutang penghakiman kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Peguam SN Nair yang mewakili Kok berkata, Jamal menyerahkan cek berjumlah RM66,600 kepada anak guamnya kira-kira 5 petang semalam untuk menyelesaikan hutang penghakiman daripada kes saman fitnah.
“Memandangkan bayaran telah dibuat, lelongan awam yang dijadualkan pada 22 Jun ini ditangguhkan sementara menunggu kelulusan cek,” katanya.
Beliau berkata, hutang penghakiman akan dianggap selesai sepenuhnya dan prosiding lelongan dibatalkan sebaik sahaja cek itu diluluskan.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan tindakan penguatkuasaan diteruskan selepas menolak permohonan interplider difailkan anak dan abang ipar Jamal, yang mendakwa barang disita dari rumah pemimpin Umno ialah milik mereka.
Kes itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022 yang memerintahkan Jamal membayar ganti rugi dan kos lebih RM300,000 kepada Kok selepas didapati memfitnahnya.
Jamal memasukkan RM300,000 ke akaun pemegang taruh sementara menunggu rayuan, tetapi baki RM66,061.65 yang terdiri daripada kos dan faedah belum dibayar.
Kok kemudian memfailkan writ penyitaan untuk mendapatkan baki itu.


