Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat berkata polis giat memburu seorang lagi suspek dikenali Hamzah yang berusia 40 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang daripada dua suspek yang mendalangi kes culik dua lelaki di Kelantan sebelum melarikan mereka ke Thailand 6 Jun lalu, ditahan di Terengganu.
Suspek berusia 32 tahun itu ditahan di Terengganu dan dibawa ke Kelantan untuk perintah tahanan reman.
Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata polis giat memburu seorang lagi suspek dikenali Hamzah yang berusia 40 tahun.
“Sebelum ini, kita jangkakan suspek melarikan diri ke Thailand, namun bersembunyi di Terengganu sebelum ditahan di negeri berkenaan,” katanya menurut Berita Harian.
Media melaporkan dua lelaki diculik di Tumpat dan Pasir Mas pada 6 Jun lalu akibat saudara tidak membayar hutang berjumlah RM33,000 dipercayai kes dadah serta penyeludupan pendatang asing tanpa izin.
Dua mangsa berusia 51 dan 35 tahun itu ditemui polis Thailand di Mundok dua hari kemudian, sebelum dibawa pulang.
Dua mangsa, termasuk lelaki 51 tahun yang mempunyai 24 rekod jenayah itu, diculik kononnya untuk dijadikan ‘cagaran’ kepada peminjam yang juga saudara mereka.

