Kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat, kata Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan.
PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap kematian seorang lelaki warga emas di sebuah pusat jagaan di Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian warga emas berusia 64 tahun itu dari pusat jagaan terbabit.
Menurutnya, siasatan lanjut kejadian masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Laporan kita terima dari pusat jagaan, umur mangsa 64 dan disahkan meninggal dunia di pusat berkenaan.
“Kita mengesan terdapat lebam tetapi kesan itu tidak menyebabkan kematian. Kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya, menurut Sinar Harian.
Tambahnya, polis turut merakam keterangan daripada individu berkaitan bagi membantu siasatan.
Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk proses bedah siasat.


