Gabungan eHailing Malaysia berharap perbincangan diadakan Kementerian Pengangkutan turut melibatkan wakil komuniti pemandu, pertubuhan pekerja gig dan badan berkepentingan lain. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) berpandangan usaha meningkatkan keselamatan pemandu e-panggilan tidak seharusnya tertumpu kepada pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) semata-mata.
Ketua aktivisnya, Masrizal Mahidin, berkata sebaliknya platform e-panggilan perlu dipertanggungjawabkan menyediakan ciri keselamatan lebih komprehensif dalam aplikasi mereka sendiri.
Katanya, antara ciri perlu dipertimbangkan termasuk rakaman audio yang hanya diaktifkan ketika perjalanan berlangsung, sistem butang kecemasan masa nyata, pengesahan identiti pengguna lebih ketat, perkongsian lokasi langsung kepada kontak kecemasan serta mekanisme tindak balas kecemasan yang lebih pantas.
“Rakaman video melalui dashcam boleh membantu meningkatkan tahap keselamatan dan memudahkan proses siasatan jika berlaku insiden, namun perbincangan tidak boleh berhenti setakat itu sahaja.
“Platform e-panggilan perlu bertanggungjawab menyediakan ekosistem keselamatan digital yang lebih moden, efektif dan menyeluruh,” katanya kepada FMT.
Pada 15 Jun lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata pihaknya akan berbincang dengan pengendali e-panggilan bagi meneliti langkah tambahan untuk meningkatkan keselamatan pemandu susulan beberapa insiden melibatkan pemandu diserang penumpang sejak kebelakangan ini.
Antara cadangan pernah dibangkitkan ialah pemasangan kamera papan pemuka dalam kenderaan e-panggilan bagi melindungi pemandu.
Katanya, terdapat syarikat pengendali e-panggilan yang menunjukkan minat untuk melaksanakan penggunaan kamera berkenaan, namun perkara itu perlu diteliti secara menyeluruh kerana turut melibatkan isu privasi penumpang
Sementara itu, Masrizal berkata selama bertahun-tahun isu keselamatan pemandu sering tenggelam di sebalik perbincangan mengenai keselamatan penumpang, sedangkan pemandu turut berdepan pelbagai risiko ketika menjalankan tugas.
Beliau menegaskan, tanggungjawab keselamatan tidak boleh diletakkan sepenuhnya ke atas bahu pemandu memandangkan mereka sudah menanggung pelbagai kos pematuhan dan operasi
“Pemandu e-panggilan berhadapan gangguan, ugutan, serangan fizikal, rompakan, penumpang mabuk, vandalisme dan pelbagai bentuk penyalahgunaan lain.
“Privasi tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak teknologi keselamatan, tetapi ia mesti diuruskan melalui dasar yang jelas dan seimbang,” katanya.
Beliau berharap, perbincangan diadakan Kementerian Pengangkutan turut melibatkan wakil komuniti pemandu, pertubuhan pekerja gig dan badan berkepentingan lain.

