Perdana Menteri Anwar Ibrahim (tengah) dan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada majlis penyerahan cek di Bintulu hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak merupakan situasi ‘menang-menang’ kepada kerajaan negeri dan Persekutuan, kata Mustapha Sakmud.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) itu berkata ia adalah antara pencapaian signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja mengiktiraf kedudukan Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan pelaksanaan MA63 boleh dilaksanakan menerusi kerjasama antara kedua-dua pihak.
Katanya, Sarawak memperoleh peranan lebih besar dalam mengurus aset strategiknya, manakala Malaysia mendapat manfaat daripada pembangunan Pelabuhan Bintulu sebagai hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau yang memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan kuasa oleh Persekutuan, sebaliknya sebagai pengukuhan Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas negara,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dibuat susulan majlis penyerahan cek penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Bintulu hari ini.
Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Selain itu, Mustapha berkata walaupun tuntutan itu telah diperjuangkan dan dirundingkan merentasi beberapa pentadbiran, penyelesaian perundangan serta pelaksanaannya akhirnya berjaya dimuktamadkan di bawah kepimpinan Anwar.
Beliau berkata komitmen kerajaan terhadap pelaksanaan MA63 dibuktikan menerusi kelulusan Rang Undang-Undang Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada Julai 2024.
Menurutnya, Pelabuhan Bintulu kini berkembang melangkaui peranannya sebagai hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara apabila turut dibangunkan sebagai pusat logistik, perindustrian dan tenaga hijau yang bakal memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
“Perkembangan ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya.
