Tertuduh, Chan Kin Yean, 62, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan parang. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan parang di Paya Terubong, minggu lepas.
Tertuduh, Chan Kin Yean, 62, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan Chan Kim Seong, 65, menggunakan sebilah parang berukuran 48 sentimeter yang jika digunakan sebagai senjata, berkemungkinan boleh menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok dalam sebuah kebun di Lot 71, Mukim 14, Jalan Paya Terubong di sini, kira-kira 3.30 petang, 21 Jun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Oleh kerana pertuduhan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, tempoh hukuman penjara boleh digandakan sehingga dua kali ganda daripada tempoh maksimum yang memperuntukkan kesalahan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Marissa Safina Saiful Adli mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Cheah Eng Soon daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Siti Marissa Safina memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bersama syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa dan saksi kes.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 17 Ogos.

