Tan Cheng Hoe ketika ini berkhidmat sebagai pengarah teknikal Harimau Malaya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim Harimau Malaya menggantikan Peter Cklamovski.
Cheng Hoe, 58, sebelum ini pernah mengemudi skuad kebangsaan dari Disember 2017 hingga Disember 2021, selepas berkhidmat sebagai penolong jurulatih kebangsaan dari 2009 hingga 2013.
FAM berkata, pelantikan Cheng Hoe dibuat selepas mengambil kira pengalaman, rekod pencapaian serta pemahaman mendalamnya terhadap landskap bola sepak negara.
“FAM berharap pelantikan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih interim pasukan kebangsaan akan kembali memberi suntikan baharu kepada Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan di peringkat Asia dan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Cheng Hoe ketika ini berkhidmat sebagai pengarah teknikal Harimau Malaya.
Antara pencapaian utamanya termasuklah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 ketika menjadi penolong jurulatih kepada K Rajagobal.
Beliau juga telah membimbing skuad kebangsaan muncul naib juara pada Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.
Di peringkat domestik, Cheng Hoe membantu Kedah memenangi kejuaraan Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, dan Piala Sumbangsih 2017.
Cheng Hoe turut mengendalikan Selangor dari 2022 hingga 2024 sebelum berhijrah ke Thailand untuk menjadi pengendali Police Tero FC.
Cklamovski, yang kontraknya ditamatkan bulan ini, telah menyertai kelab Liga Dua Inggeris, Salford City FC sebagai pengurus.
Salford City, yang bersaing dalam divisyen empat sistem liga bola sepak Inggeris, dimiliki oleh konsortium diterajui bekas pemain Manchester United, David Beckham dan Gary Neville.


