Tinjauan Merdeka Center dijalankan dari 12 Mac hingga 9 April mendapati Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendahului enam tokoh politik yang diselidik.
PETALING JAYA: Anwar Ibrahim merekodkan tahap sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara dalam tinjauan terbaharu Merdeka Center, dengan 52% responden berpuas hati terhadap prestasinya sebagai perdana menteri.
Tinjauan awam nasional yang dijalankan dari 12 Mac hingga 9 April melibatkan 1,209 responden, meletakkan Anwar di hadapan enam pemimpin lain yang diselidik.
Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berada di tempat kedua dengan kadar sokongan 50%, diikuti oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin, 36%.
Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, mencatatkan 32%, manakala pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, 28%. Presiden PAS Hadi Awang, 25%.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, pada kadar penerimaan terendah 24%, dengan 61% responden menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasinya.
Kebimbangan ekonomi kekal keutamaan
Meskipun berdepan ketidaktentuan antarabangsa dan cabaran ekonomi semakin meningkat, 47% responden menyatakan Malaysia berada di landasan betul — tidak berubah daripada tinjauan dijalankan pada Disember 2025 dan Februari tahun ini—manakala 50% lagi berpendapat negara berada di landasan salah.
Merdeka Center berkata, penemuan itu bagaimanapun menunjukkan peningkatan berbanding pertengahan 2025, apabila kurang daripada empat dalam sepuluh rakyat Malaysia percaya negara sedang menuju ke arah yang betul.
Dalam kalangan responden yang berpandangan negara sedang menuju ke landasan salah, 53% memberikan alasan faktor ekonomi seperti situasi ekonomi, kos sara hidup, dan harga bahan api.
Dalam pada itu, 73% responden mengenal pasti isu ekonomi sebagai masalah tunggal terbesar dihadapi rakyat Malaysia.
Tahap kepuasan terhadap cara kerajaan mengendalikan ekonomi berada pada kadar 46%, berbanding 51% yang tidak berpuas hati, walaupun Merdeka Center mengambil maklum ketidakpuasan terhadap ukuran berkenaan menurun ketara, berbanding trend keseluruhan sepanjang 2025.
Tahap kepuasan secara keseluruhan terhadap kerajaan persekutuan dilihat seimbang, dengan 50% berpuas hati dan 48% sebaliknya.
Sokongan kuat dukung reformasi institusi
Dalam tinjauan itu, sokongan keseluruhan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum dua penggal atau 10 tahun berada pada tahap 73%, manakala 84% menyokong pengasingan peranan antara peguam negara dan pendakwa raya.
Sekitar 58% menyokong pilihan raya langsung bagi jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

