Puad Zarkashi keluar Ummo. Biasalah ahli politik keluar parti politik. Puad mendakwa tindakannya kerana Umno Johor dikawal istana. Ini luar biasa.
Tidak pernah dan kalau ada pun jarang sekali politikus melempar tuduhan sedemikian secara terbuka. Kalau ada mungkin sekadar bisik bisik.
Puad tuduh Menteri Besar Johor yang juga ketua Umno negeri Onn Hafiz Ghazi seorang ‘pak turut’. Malah Puad mendakwa pembubaran DUN Johor tempoh hari dibuat atas titah istana.
Bagi Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki tindakan Puad didorong satu tuntutan peribadi untuk mencalonkan anaknya untuk PRN tidak dituruti kepimpinan tertinggi Umno.
“Beliau sendiri menulis surat kepada saya secara panjang lebar mengugut untuk keluar parti dan menghentam parti sekiranya kepimpinan tertinggi Umno tidak mempertimbangkan anak beliau sebagai calon di DUN Rengit (untuk menggantikan beliau ),” dakwa Asyraf.
Puad ahli politik veteran. Sebelum keluar Umno beliau ialah anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno dan juga speaker DUN Johor.
Beliau sudah mengumumkan beliau tidak mahu bertanding pada PRN Johor kali ini.
Puad pasti ada ceritanya sendiri untuk menjawab tuduhan Asyraf. Tetapi persoalan utama – adakah tuduhan beliau mengenai campur tangan istana benar?
Puad mendakwa Onn Hafiz “maklumkan kepada saya bahawa pihak istana yang titah kepada beliau supaya DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026”.
Tetapi menurut Onn Hafiz “apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Tunku ismail Sultan Ibrahim (pemangku Sultan Johor) selaras dengan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang Undang Tubuh Kerajaan Johor”. Beliau menggunakan Facebook untuk menyatakan penjelasan itu.
Ertinya menurut Hafiz titah perkenan tidak bermaksudkan campur tangan politik (oleh istana).
Mungkinkah Puad tidak faham atau silap pengertian tentang apa yang dimaklum Hafiz kepadanya semasa mereka bertemu di kediaman rasmi menteri besar pada 21 Jun lalu ?
Itu di Johor. Adakah tuduhan seperti dilempar oleh Puad ada juga dilemparkan oleh orang lain membabitkan negeri negeri lain? Jika tidak ada Alhamdulillah. Jika ada mesti diteliti dan diatasi.
Bercakap dalam konteks negara – Malaysia seperti kita semua tahu mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan yakni raja bertindak sebagai ketua negara yang kuasanya dihadkan oleh perlembangsaan.
Secara ringkas sekadar untuk ulang hayati bersama dinyatakan di Malaysia sistem ini digabungkan Demokrasi Berlembagaan. Kuasa pentadbiran harian dipegang oleh perdana menteri manakala raja adalah sebagai lambang perpaduan dan kedaulatan negara.
Walaupun raja (Yang di-Pertuan Agong juga Raja-Raja Melayu) bertindak mengikut nasihat perdana menteri atau Jemaah Menteri (menteri besar di negeri negeri) raja mempunyai kuasa budi bicara tertentu.
Seperti pelantikan perdana menteri atau menteri besar serta pembubaran Parlimen atau DUN dalam situasi kritikal atau tertentu.
Namun yang paling penting ialah semua tindakan kerajaan dan institusi raja tertakluk kepada Perlembangaan Persekutuan.
Sesungguhnya ini amat penting dan pada hemat saya adalah penting juga raja dan rakyat memahami peranan masing masing. Ini akan antara lain menjawab persoalan adakah titah atau perlembagaan yang mesti diikuti?
Ketika kriris politik Negeri Sembilan memuncak (sehingga sekarang belum reda) program audio siar Keluar Sekejap yang dikendali Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan ada membincangkan isu berkenaan.
Umum tahu kriris itu tercetus berkait hal adat perpatih dan institusi raja Negeri Sembilan.
Shahril secara am (bukan hanya mengenai Negeri Sembilan) turut bercakap mengenai hal institusi raja.
Kata beliau: “Kuasa yang layak diletakkan terhadap institusi raja dan secara sentimen atau pun simbolik kekuasaan raja Melayu ini dia datang daripada kesediaan rakyat untuk memberi dan terima.”
Dan kata Shahril lagi: “Untuk rakyat terus mengangkat instutusi raja Melayu beberapa perkara kena ada. Dia (institusi raja) kena functional, kedua dia kena dihormati dan disegani.”
Seterusnya kata beliau “Kalau isu berkaitan dengan institusi raja dah jadi gosip politik atau bahan jenaka bagi sebahagian orang ia akan jadi a mockery. Ini semua pihak mesti fikir tentang perkara ini.”
Persepsi atau tanggapan orang biasa tentang institusi raja kata Shahril adalah ini peraturan undang-undang ciptaan manusia bukan al-Quran. “So the consent of the people rest on the something that is more than just apa ada dalam teks.”
Tapi kata Shahril lagi: “How it is perceived sekarang ini tak membawa kepada benda yang baik.”
Membawa saya kepada satu lagi episod Keluar Sekejap beberapa bulan sebelumnya. Ia membincangkan persoalan ‘Sistem Beraja adakah masih relevan’. Tetamu ialah Tengku Mahkota Johor (TMJ).
Kata TMJ, sistem beraja masih relevan kerana raja-raja boleh bertindak sebagai pengimbang dan memperbetulkan keadaan.
Contoh jika negara bergerak ke arah kanan esktrem dan “ahli politik tidak akan buat apa apa kerana mereka perlukan the numbers.”
Dalam keadaan begitu “kami (raja-raja) boleh bertindak kerana we don’t need popularity,” kata TMJ.
Oleh itu bagi beliau sistem beraya masih relevan “but we also must change our ways”. We merujuk raja-raja.
How? tanya KJ. “Get closer to the people,” jawab TMJ.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


