Perdana menteri mengarahkan penambahbaikan beberapa aspek penyasaran subsidi diesel melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup rakyat.
PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang mengusahakan penambahbaikan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel susulan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdasarkan maklum balas rakyat.
Menteri Armizan Mohd Ali berkata Anwar mengarahkan penambahbaikan beberapa aspek melalui strategi dan pendekatan yang mengambil kira faktor kos sara hidup rakyat, pengurusan risiko ketirisan dan kedudukan serta ruang fiskal negara.
Antara penambahbaikan dalam bidang kuasa KPDN ialah peluasan penyaluran subsidi diesel kepada para peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap, dan semakan pelarasan kadar kuota tetap beberapa jenis kenderaan pengangkutan darat barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Berhubung penambahbaikan pertama, Armizan menerangkan ia berkenaan peluasan penyaluran subsidi diesel kepada para peniaga kecil yang mempunyai kenderaan diesel jenis jip dan pikap yang didaftarkan atas nama perniagaan atau syarikat di bawah kelas atau kod kegunaan persendirian perniagaan.
“Syarat kelayakan subsidi diesel sebelum ini adalah terhad kepada (a) kenderaan didaftarkan atas nama individu bagi BUDI Diesel dan (b) kenderaan perniagaan/syarikat pengangkutan barangan di bawah kelas atau kod kegunaan pengangkutan barangan pengguna bagi SKDS,” menurut kenyataan.
Berhubung penambahbaikan kedua, Armizan berkata pelarasan kuota tetap akan mengambil kira faktor teknikal seperti berat dengan muatan, kapasiti enjin, kategori lori, tahap penggunaan bahan api serta pola operasi kenderaan, selain daripada penilaian purata penggunaan mengikut jenis kenderaan.
“Melalui SKDS, kadar penggunaan dan jumlah perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan untuk setiap kenderaan dan syarikat yang berdaftar akan direkodkan,” katanya.
Armizan berkata KPDN diarahkan untuk mengambil tindakan susulan segera bagi melaksanakan keputusan dasar Jemaah Menteri dengan mengenal pasti mekanisme penyaluran yang bersesuaian, termasuk keperluan pengubahsuaian dan pengintegrasian kepada sistem pelaksanaan sedia ada.
Arahan itu menyusuli mesyuarat Jemaah Menteri semalam, membincangkan status kemajuan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api melalui mekanisme BUDI Diesel, BUDI95, SKDS dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi.
Sementara itu, KPDN sekali lagi mengadakan tinjauan bagi melihat kesiapsiagaan syarikat minyak bagi pelaksanaan BUDI Diesel, yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Julai.
Tinjauan meliputi tahap persiapan pelaksanaan di peringkat runcit, termasuk kestabilan sistem transaksi, proses pengesahan menggunakan MyKad dan aplikasi digital syarikat minyak, latihan kepada petugas serta aspek perkhidmatan mesra pelanggan.
Armizan berkata 10 syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan bagi pelaksanaan BUDI Diesel. “Sebanyak 4,146 stesen minyak di seluruh negara telah bersedia untuk pelaksanaan penuh BUDI Diesel.”


