Bekas pemimpin, Puad Zarkashi, dakwa Umno Johor gagal memenuhi aspirasi anak muda.
PETALING JAYA: Umno berdepan risiko ditolak oleh pengundi muda lantaran calon-calon yang dipertaruhkan parti itu untuk PRN Johor, menurut bekas pemimpin, Puad Zarkashi.
Puad berkata Umno sepatutnya dipimpin generasi keempat seperti Pengerusi Barisan Nasional Johor, Onn Hafiz Ghani, namun, malangnya ramai calon Umno daripada ‘generasi ketiga’.
Beliau juga mendakwa Umno membariskan calon ‘kitar semula’, tidak berapa baik kebolehannya, dan ‘anti aspirasi anak muda’.
Bekas ahli majlis kerja tertinggi menambah Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, tidak memahami perkara ini.
“Umno Johor gagal memenuhi aspirasi anak muda. Generasi keempat terpinggir. Itu yang Akmal tidak faham,” katanya di Facebook.
Puad seterusnya menyenaraikan beberapa individu bersekali usia dan ringkasan politik masing-masing,
“Maka bagaimana anak muda mahu tertarik dengan Umno,” soalnya.
Sebelum ini, Akmal menyangkal dakwaan bahawa Umno Johor tidak menepati aspirasi orang muda kerana 13 calon BN berusia bawah 40 tahun.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan BN bertanding di semua kerusi.
Akmal juga menambah Puad bertanding pada PRN lalu pada usia 60-an.
Puad keluar parti pada pada 25 Jun lalu, mendakwa beliau tidak lagi boleh berdiam diri terhadap apa yang disifatkannya sebagai kekurangan autonomi Umno Johor dalam membuat keputusan.
Puad turut menuduh Onn Hafiz sekadar menjadi ‘pak turut’ dan mendakwa beliau menjadikan Umno Johor sebagai ‘boneka yang terikat dengan kawalan luar’.
Onn Hafiz menolak dakwaan Puad manakala Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Puad sebelum ini mengugut untuk keluar parti dan mengkritik Umno secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan di kerusi Rengit.


