Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata sebuah kilang kitar semula di Batu 2 Kampung Durian, Lahad Datu musnah 90% dalam kebakaran semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut terkena renjatan elektrik dalam kebakaran sebuah kilang kitar semula di Batu 2 Kampung Durian, Lahad Datu, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, warga asing dikenali Muhammad Alpian Abdullah disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata 21 anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.09 petang.
Menurutnya, kebakaran membabitkan sebuah kilang kitar semula jenis tidak kekal yang musnah 90%.
“Seorang mangsa dilaporkan mengalami renjatan elektrik dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi, sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, kebakaran terkawal pada 7.38 malam, tetapi operasi memadam bara api dan kerja overhaul giat dijalankan bagi memastikan tiada punca nyalaan semula serta keadaan benar-benar selamat.


