Penganalisis berkata jika Umno mahu kembali dominan ia mesti berani menjadi ‘pemandu di kerusi hadapan’. (Gambar Umno Online)
PETALING JAYA: Arahan PAS supaya penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) mungkin menguntungkan Umno pada PRN Johor tetapi bukan jangka panjang, kata penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, ia termasuk untuk kembali menjadi dominan selepas mencatatkan prestasi kurang memberangsangkan sejak PRU14 yang memerlukannya membina semula identiti dan kekuatan sendiri.
Beliau turut mengingatkan sejarah menunjukkan hubungan politik antara PAS dan rakan gabungannya sering berubah mengikut keperluan semasa yang memerlukan Umno berhati-hati untuk memastikan kelangsungannya untuk tempoh lama.
“Jika Umno mahu kembali dominan, ia mesti berani menjadi pemandu di kerusi hadapan.
“Bukannya sekadar menjadi penumpang yang menanti masa ditolak keluar apabila haluan politik berubah,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim dilaporkan meminta ahli dan penyokongnya mengundi calon Umno-BN di kerusi tidak ditandingi PN pada PRN Johor 11 Julai ini.
Kenyataan itu menguatkan spekulasi kerjasama BN dan PN terutama PAS selepas PRN Johor walaupun Ketuanya Onn Hafiz Ghazi menegaskan parti itu tidak akan bergabung dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan jika diberi mandat.
BN dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 56 kerusi manakala PN meletakkan calon di 33 DUN dengan pecahan Bersatu (16), PAS (11), MIPP (5) dan Pejuang (1).
Walaupun bertanding logo PN, kerjasama PAS dan Bersatu telah putus yang menyebabkan krisis dalaman gabungan itu sebelum ini.
Parti yang menang minimum 29 kerusi boleh membentuk kerajaan Johor.
Azmi Hassan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, arahan Tuan Ibrahim bukan sesuatu diminta oleh Umno, namun memberi gambaran seolah-olah wujud kerjasama politik antara kedua-dua parti.
Katanya, arahan itu lebih memberi kesan kepada Bersatu berbanding PAS kerana penyokong PAS di kawasan tertentu berkemungkinan mengalihkan sokongan kepada BN.
“Ia mungkin melarat ke 16 kerusi yang menyaksikan pertembungan BN, PH dan Bersatu. Arahan itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN dan merugikan Bersatu walapun dalam satu gabungan dengan PAS,” katanya.


