Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan bersama empat ahli keluarganya, termasuk seorang bayi, di Sungai Petani awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian berlaku di KM7.3 Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil berhampiran Taipan Square Bandar Puteri Jaya, pada 7 pagi tadi, membabitkan seorang penunggang motosikal dan lima pejalan kaki.
“Penunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat berniaga dan tidak sedar ada pejalan kaki di bahu jalan.
“Jarak yang dekat menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Mangsa, Shukriyah Abu Bakar, 58, disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang lagi mangsa Siti Aishah Sha’ari, 24, cedera pada bahagian tangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


