RapidKL menasihatkan penumpang tidak sihat ketika berada di stesen LRT supaya segera mendapatkan bantuan daripada kakitangan stesen atau polis bantuan.
PETALING JAYA: Seorang penumpang yang terjatuh ke landasan di stesen LRT Hang Tuah petang tadi dipercayai pengsan, menurut RapidKL.
Pengendali rel itu berkata kejadian di Laluan Ampang/Sri Petaling berlaku kira-kira 6.35 petang, apabila penumpang berkenaan hilang imbangan lalu terjatuh ke landasan.
RapidKL dalam kenyataan berkata operasi tren dihentikan sementara dan bekalan kuasa ke landasan diputuskan sebagai langkah keselamatan.
Katanya, penumpang itu dibantu pasukan penyelamat dan diberikan rawatan awal di bilik kecemasan stesen berkenaan.
Perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa pada 6.52 petang selepas pemeriksaan keselamatan mengesahkan laluan itu selamat digunakan.
RapidKL menasihatkan penumpang yang berasa tidak sihat ketika berada di stesen supaya segera mendapatkan bantuan daripada kakitangan stesen atau anggota polis bantuan.
Ia turut mengingatkan penumpang supaya mematuhi peraturan keselamatan di stesen, termasuk berdiri di belakang garisan keselamatan dan tidak memasuki kawasan larangan.


