Kartiyaini Jeyapalan di satu jelajah kempen di Skudai yang turut dibantu Timbalan Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin (berdiri, kanan). (Gambar Facebook)
ISKANDAR PUTERI: Anak muda Johor sebenarnya lebih cenderung bekerja di negeri sendiri, tetapi jurang gaji dengan Singapura menyebabkan ramai memilih bekerja di republik itu, kata calon Pakatan Harapan (PH), Kartiyaini Jeyapalan.
Naib Pengerusi II Wanita DAP Johor itu bimbang Johor sukar mengekalkan bakat tempatan jika kebimbangan golongan muda tidak ditangani.
Kartiyaini, yang berdepan saingan empat penjuru di kerusi Skudai, berkata isu pekerjaan, gaji dan kebergantungan Johor kepada ekonomi Singapura menjadi antara perkara utama dibangkitkan pengundi, khususnya generasi muda.
Beliau berkata sepanjang turun berkempen, anak muda berkongsi kebimbangan mereka mengenai peningkatan kos sara hidup dan kekurangan peluang pekerjaan.
“Pengundi muda ini juga berkata mereka lebih suka mencari pekerjaan di negeri ini, bukan di Singapura,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, dilaporkan lebih 1.18 juta rakyat Malaysia bekerja di Singapura, dengan kira-kira 400,000 daripada mereka berulang-alik melalui Tambak Johor setiap hari untuk bekerja.
Ramai dalam kalangan mereka berasal dari Skudai, yang terletak kira-kira 20km dari Tambak Johor.
Kartiyaini berkata ramai yang ditemuinya meluahkan rasa tidak senang kerana terpaksa berulang-alik ke Singapura setiap hari untuk bekerja.
“Mereka sebenarnya mahu bekerja di Johor, jika ada pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
“Bagi kebanyakan mereka, pakej gaji di Singapura lebih menarik. Jadi, jika kita dapat mewujudkan peluang sama di sini, lebih ramai pelabur akan datang ke Johor dan kita boleh mengekalkan bakat tempatan,” katanya.
Kartiyaini yang juga seorang peguam, berkata kebimbangan sama turut dibangkitkan golongan profesional muda seperti peguam dan doktor.
Mengenai kempennya yang memasuki hari keenam hari ini, beliau menyifatkan sambutan diterima sebagai menggalakkan.
“Ia agak positif. Pengundi Skudai mengakui rekod perkhidmatan DAP di kawasan ini,” katanya, merujuk kepada penguasaan parti itu di kerusi berkenaan sejak 2008.
Beliau berkata pengundi juga memahami DAP memilih calon berdasarkan merit dan apa yang diyakini terbaik untuk rakyat setempat.
“Setakat ini, apabila kami bertemu penduduk, mereka berkata, ‘pastikan Pakatan Harapan menang’. Jadi saya positif kempen ini berada di landasan yang betul.”
Katanya, pengundi Skudai masih mempercayai pemimpin PH untuk meneruskan kerja yang sudah dimulakan.
“Mereka akan terus berjuang untuk rakyat kerana mahu melihat masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia dan Johor,” katanya.
Kartiyaini akan berdepan calon Barisan Nasional Tan Hiang Kee, Amir Syafiq Ameer Soekre daripada PSM dan Eugene Chua Meng Hong daripada Bersama di kerusi itu.


