Polis berkata kereta dinaiki mangsa dipercayai memasuki satu tapak projek yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang ramai. (Gambar JBPM)
KOTA BHARU: Lima warga China termasuk dua wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung di tapak projek pembinaan di KM 41, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai dekat Machang, malam tadi.
Ketua Polis Machang Azuhar Md Nor berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam kira-kira 12.01 tengah malam.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 11.50 malam membabitkan sebuah Toyota Prius yang dipandu lelaki warga China berusia 66 tahun bersama-sama empat lagi penumpang senegara.
“Semua mereka dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.
“Kenderaan itu dipercayai memasuki kawasan tapak projek culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan.
Azuhar berkata semua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya pada aplikasi navigasi, khususnya pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


