Ayna Soraya Badaruddin berkata sambutan daripada pengundi khususnya golongan muda di Sungai Balang agak mengalakkan.
MUAR: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sungai Balang Ayna Soraya Badaruddin yakin gabungan itu mempunyai peluang mencipta kejutan di kerusi yang sekian lama dianggap kubu kuat Umno.
Ayna, 31, yang lebih dikenali sebagai ‘Akak Kapal’ berkata keyakinan itu berdasarkan sambutan positif diterimanya sepanjang kempen, terutama dalam kalangan pengundi muda.
Bagaimanapun, calon pilihan raya kali pertama itu mengingatkan jentera PH supaya tidak terlalu selesa dan terus bekerja sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini.
“Saya melihat berdasarkan analisis program dan gerak kerja yang kita buat, sambutan memang sangat luar biasa, khususnya daripada golongan muda, malah turut melibatkan pengundi yang lebih berusia.
“Insya-Allah kemenangan itu semakin hampir. Tetapi perjuangan tidak berakhir di situ. Macam-macam boleh berlaku. Kita perlu kekalkan momentum dan jangan sesekali rasa selamat,” katanya dalam temu bual FMT.
Graduan kejuruteraan maritim dari University of Southampton itu berkata penyertaannya dalam politik bukan semata-mata untuk menang pilihan raya, sebaliknya mahu membawa isu pembangunan Sungai Balang ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, kawasan itu mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor dan wajar diberi perhatian lebih serius.
“Sungai Balang sangat kompleks. Banyak segmen dan sektor yang boleh dibangunkan.
“Saya mahu membawa perkara ini ke hadapan supaya kawasan ini menjadi contoh kepada daerah Muar,” katanya yang akan berdepan penyandang Selamat Takim dari Barisan Nasional dan Muhammad Amin Sailan mewakili Perikatan Nasional (PN).
Beliau turut berkongsi keputusan menyertai PKR pula dibuat selepas mengikuti perjuangan parti itu sejak zaman pengajian, selain mengagumi kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar.
“Saya melihat bagaimana beliau membina satu wadah politik yang memberi pilihan kepada rakyat dan menggalakkan pemikiran lebih kritikal.
“Saya juga sangat mengidolakan Nurul Izzah. Dia seorang yang ada kelembutan dalam ketegasan,” katanya yang mengakui keputusannya menyertai politik menerima reaksi berbeza daripada keluarga.
Namun beliau berkata restu ibu bapa menjadi perkara paling penting baginya.
“Saya mengambil pendekatan tidak membawa perbincangan politik ke dalam keluarga kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza.
“Yang penting saya mendapat keredaan ibu bapa,” katanya.
Mengenai cadangan mewajibkan sekurang-kurangnya 30% calon wanita dalam pilihan raya dan dalam kalangan pembuat dasar, Ayna berkata beliau menyokong penuh langkah itu.
Katanya, pengalaman bekerja dalam industri didominasi lelaki membuatkannya lebih memahami cabaran dihadapi wanita, termasuk dalam politik.
“Saya sudah biasa bekerja dalam bidang yang majoritinya lelaki dan saya juga berdepan cabaran sama dalam politik.
“Wanita bukan sahaja memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai ibu, isteri dan anak. Itu cabaran yang besar,” katanya.
Mengulas perubahan corak sokongan pengundi Johor antara PRN 2022 dan PRU15, Ayna berkata suasana kedua-dua pilihan raya itu berbeza.
Katanya, PRN Johor diadakan ketika negara baru memasuki fasa pemulihan selepas pandemik Covid-19, menyebabkan ramai pengundi, termasuk anak muda dan masyarakat Cina, tidak keluar mengundi.
“Pada PRU, suasananya berbeza kerana ia melibatkan seluruh negara. Vibe ketika itu berbeza dan lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya.
Ayna berkata sokongan rakyat Johor terhadap PH sebenarnya tidak berubah, sebaliknya peratusan keluar mengundi yang rendah ketika PRN lalu memberi kesan kepada jumlah kerusi dimenangi gabungan itu.
