Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata rundingan itu diatur selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara, dengan Putrajaya menyasarkan satu penyelesaian secara baik. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengadakan rundingan pusingan pertama dengan Kongsberg Defence & Aerospace (KDA) pada pertengahan Ogos bagi mencapai penyelesaian berhubung pembatalan kontrak pembekalan sistem peluru berpandu NSM.
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata, rundingan itu diatur selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara, dengan Putrajaya menyasarkan satu penyelesaian secara baik.
“Keutamaan kerajaan adalah penyelesaian yang memberikan hasil terbaik, menjimatkan masa dan selari dengan kepentingan negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata rundingan itu akan merangkumi kontrak Malaysia dengan KDA, tuntutan Putrajaya, kewajipan kontrak syarikat berkenaan dan langkah seterusnya bagi kedua-dua pihak.
Pada Mei, Norway membatalkan lesen eksport bagi sistem NSM serta sistem pelancar yang berkaitan dengannya selepas menyatakan bahawa eksport teknologi pertahanannya akan dihadkan kepada sekutu dan rakan kongsi terdekatnya sahaja, termasuk negara-negara Nato.
Keputusan tersebut menyebabkan program kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia kehilangan sistem senjata permukaan ke permukaan yang penting, walaupun kontrak tersebut ditandatangani pada April 2018.
Khaled berkata kementeriannya mengeluarkan notis tuntutan kepada KDA pada 18 Mei bagi menuntut pampasan sebanyak RM1.06 bilion berikutan pembatalan perjanjian berkenaan.
“Jumlah tersebut bukan sahaja merangkumi pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan Malaysia, malah melibatkan kerugian langsung dan tidak langsung yang ditanggung akibat pembatalan lesen eksport NSM itu,” katanya.
Khaled berkata Malaysia telah membayar 129.8 juta euro (lebih RM600 juta), yang membentuk kira-kira 95% daripada keseluruhan nilai kontrak, sebelum peluru berpandu tersebut yang dijadualkan tiba pada Mac disekat daripada dieksport.


