Hakim Mahkamah Tinggi KL Mahazan Mat Taib anugerah ganti rugi am RM250,000 dan ganti rugi teruk RM150,000 kepada Pengarah Urusan Khean Seng Engineering Sdn Bhd Yeoh Ee Seong.
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang dianugerahkan ganti rugi RM400,000 oleh Mahkamah Tinggi hari ini dalam saman fitnahnya terhadap sebuah akhbar harian berbahasa Cina.
Yeoh Ee Seong menyaman Sin Chew Media Corporation Bhd pada Mei tahun lepas berhubung laporan Guan Ming Daily terbitan syarikat itu, yang memberi gambaran bahawa beliau menjadi dalang di sebalik serangan terhadap seorang peguam.
Laporan itu diterbitkan pada 27 Dis 2024.
Yeoh berhujah, tajuk dan kandungan artikel itu memberi bayangan bahawa beliau bukan sahaja dalangnya, malah turut ditahan ketika cuba melarikan diri dengan menaiki pesawat.
Katanya, tajuk berita dalam bahasa Mandarin itu diterjemahkan sebagai ‘Dalang di sebalik serangan terhadap peguam Pulau Pinang ditahan ketika melarikan diri menaiki pesawat’.
Yeoh mendakwa, artikel itu, yang turut memaparkan gambar mengecamnya di mahkamah majistret, menggambarkannya sebagai tidak jujur, tidak boleh dipercayai, tiada integriti, seorang penjenayah, dan seseorang yang cuba melarikan diri daripada undang-undang.
Beliau menafikan cuba melarikan diri, sambil menjelaskan bahawa beliau telah menukar penerbangannya untuk pulang lebih awal ke Pulau Pinang selepas mengetahui polis memintanya untuk membantu siasatan dan berdepan sebarang kemungkinan tuduhan.
Sin Chew menafikan telah memfitnah Yeoh dan bergantung kepada beberapa pembelaan, termasuk kebenaran atau kebenaran substantif, pelaporan neutral, perlindungan bersyarat, komen wajar, dan peruntukan di bawah undang-undang fitnah.
Mahkamah bagaimanapun menolak pembelaan tersebut selepas mempertimbangkannya.
Dalam keputusan memihak kepada Yeoh, Hakim Mahazan Mat Taib menganugerahkan pengarah urusan Khean Seng Engineering Sdn Bhd itu RM250,000 sebagai ganti rugi am dan RM150,000 sebagai ganti rugi teruk.
Mahkamah turut membenarkan injunksi kekal untuk menghalang Sin Chew daripada menyiarkan semula kenyataan fitnah tersebut. Syarikat itu juga diarahkan membayar kos RM20,000.
Mahazan bagaimanapun tidak menganugerahkan ganti rugi teladan, menetapkan bahawa ganti rugi sedemikian hanya diberikan dalam keadaan luar biasa.


