Intervensi kerajaan seperti subsidi dan kawalan harga telah menstabilkan bekalan serta harga yang memanfaatkan pengguna. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Bekalan keperluan termasuk tenaga di Malaysia masih stabil, namun tekanan daripada gangguan rantaian bekalan global, konflik geopolitik dan perubahan iklim berisiko memberi kesan, kata ahli ekonomi.
Barjoyai Bardai berkata antara risikonya termasuk kenaikan kos makanan, tenaga dan logistik yang kini tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu bermusim kerana pasaran global semasa lebih mudah terdedah kepada gangguan luar.
Gangguan luar itu termasuk ketidaktentuan krisis di Asia Barat yang berisiko menjejaskan bekalan fizikal, penghantaran dan kos rantaian bekalan global.
Dalam temu bual dengan BFM bulan lalu, Penasihat Ekonomi Kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Nurhisham Hussein menggambarkan pemulihan rantaian bekalan dan telaga minyak yang terjejas akibat konflik di Asia Barat tersebut boleh mengambil beberapa bulan, walaupun zon konflik disahkan selamat.
Menurut Barjoyai, konflik lebih 100 hari di Asia Barat telah menjejaskan pengeluaran produk petroleum, mengganggu pergerakan kapal dan mengubah keputusan pembelian dalam rantaian bekalan dunia.
Ujarnya, selain itu tekanan kepada harga juga akibat kos baja yang meningkat, cuaca ekstrem, sekatan eksport oleh negara pengeluar serta ketidaktentuan harga minyak dan gas.
“Gangguan bekalan global melibatkan makanan, tenaga dan logistik yang saling berkait. Apabila satu sektor terjejas, kesannya boleh dirasai pada sektor lain, termasuk harga barangan harian,” kata ahli akademik dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia itu kepada FMT.
Faktor stabil
Di sebalik tekanan kenaikan itu, Barjoyai berkata intervensi kerajaan seperti subsidi dan kawalan harga telah menstabilkan keadaan.
“Subsidi dan kawalan harga bertindak sebagai ‘kusyen’ menahan rakyat daripada merasai impak sebenar kenaikan harga global,” katanya
Namun, beliau berkata subsidi perlu terus diurus secara berhemat supaya bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan yang paling memerlukan.
Kerajaan turut mengekalkan subsidi bersasar bahan api melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dengan RON95 kekal pada RM1.99 seliter bagi rakyat yang layak, jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.
Mulai 1 Julai, subsidi diesel pula akan disepadukan dengan pengesahan MyKad di bawah BUDI MADANI Diesel, membolehkan diesel bersubsidi pada RM2.10 seliter disalurkan kepada kumpulan yang layak, termasuk warganegara Malaysia dengan lesen memandu aktif serta pemilik bot persendirian dan genset di kawasan pedalaman.
Dari segi bekalan bahan api pula, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selepas lawatan ke Turkmenistan mengumumkan Petronas memperoleh akses kepada salah satu simpanan gas terbesar di dunia di negara itu melalui perjanjian baharu dengan entiti tenaga milik negara Asia Tengah berkenaan.
Anwar menggambarkan perkembangan lebih besar itu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global, selain membantu menjamin bekalan tenaga jangka panjang dan meningkatkan eksport ke pasaran seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Anwar yang juga menteri kewangan, turut berkata Presiden Rusia Vladimir Putin memberi jaminan mengenai bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pembaharuan kontrak tahunan.
Kerjasama awam tingkat daya tahan negara
Barjoyai turut menekankan keperluan meningkatkan daya tahan negara yang pernah ditekankan Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Mohd Hassan Marican dari segi kerjasama awam.
Dalam temu bual dengan Bernama awal bulan ini, Hassan menekankan penyesuaian di setiap sektor penting dari pengurangan bahan api serta elektrik, pembinaan logistik pintar, memaksimumkan pengangkutan awam dan perbelanjaan berhemah.
Barjoyai berkata ketika kerajaan memperkukuh keterjaminan makanan dan jaringan keselamatan sosial, sektor swasta perlu membina rantaian bekalan alternatif serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import.
“Komuniti boleh memainkan peranan melalui koperasi, pertanian bandar dan sistem sokongan setempat, sementara pengguna mengamalkan perbelanjaan berhemah, mengurangkan pembaziran serta mengutamakan barang.
“Daya tahan ekonomi Malaysia tidak lagi terletak pada bahu kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan kolektif untuk membina ekosistem domestik mandiri dan kalis krisis,” katanya.
Penggunaan berhemah, kurang pembaziran bantu stabilkan bekalan
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) T Saravanan turut menekankan usaha menangani tekanan kos sara hidup tidak boleh diletakkan kepada kerajaan semata-mata.
Beliau berkata industri dan pengguna turut mempunyai peranan masing-masing.
Menurutnya, industri perlu memastikan amalan perniagaan lebih cekap dan telus manakala pengguna boleh membantu melalui perbelanjaan berhemat, mengurangkan pembaziran dan menyokong produk tempatan apabila sesuai.
“Ketahanan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi global memerlukan kerjasama semua pihak.
“Pengguna yang lebih berpengetahuan dan bersedia akan lebih mampu menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan pada masa depan,” katanya.

