Bersama akan bertanding di 15 kerusi pada PRN Johor Sabtu ini, di kawasan-kawasan yang mempunyai antara 24.5% hingga 61.1% pengundi Cina. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Parti Bersama Malaysia (Bersama) berpotensi menarik undi kaum Cina daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor minggu depan, walaupun masih belum dapat dipastikan sejauh mana impak parti pimpinan Rafizi Ramli itu, kata penganalisis politik.
Chin Yee Mun.
Bersama bertanding di 15 kerusi, dengan pengundi Cina merangkumi antara 24.5% hingga 61.1% daripada jumlah pemilih di kawasan-kawasan tersebut.
Chin Yee Mun daripada Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, pengundi Cina secara tradisinya menyokong PH dan kini Bersama menampilkan parti itu sebagai alternatif dengan menyuarakan isu-isu yang rapat dengan masyarakat tersebut.
“Bersama mungkin menarik sokongan pengundi Cina yang telah putus harapan terhadap kedua-dua PH dan BN,” kata Chin kepada FMT.
Bagaimanapun, segelintir pengundi mungkin akan teragak-agak untuk mengundi Bersama, memandangkan ia masih parti baharu dan bukan anggota mana-mana gabungan. Calon Bersama juga tidak begitu dikenali dan belum mempunyai rekod prestasi.
“Bagi pengundi yang lebih pragmatik, faktor-faktor ini akan buatkan mereka fikir dua kali (untuk mengundi parti itu),” katanya.
Chin mengulas gesaan calon PH di DUN Pemanis, Jalex Lee, agar masyarakat Cina menolak calon Bersama pada PRN Johor kerana ia berisiko memecahkan undi PH.
Lee berkata, Bersama dilihat menumpukan usaha untuk memenangi hati pengundi Cina dengan membangkitkan isu-isu yang membelenggu masyarakat itu.
Lau Zhe Wei.
Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, ideologi yang dikongsi antara Bersama dan PH pastinya akan membantu parti itu meraih undi daripada pangkalan pengundi PH di Johor.
Bersama boleh menjadi ancaman kepada PH, terutamanya di kerusi marginal, katanya, walaupun PH boleh ‘pejam mata’ terhadap Bersama di kawasan di mana gabungan itu menang dengan majoriti besar. Pengaruh Bersama belum sebesar PH, tambahnya.
PH dan Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 56 kerusi DUN pada PRN Johor, manakala Bersama bertanding di 15 kerusi.
Pengundian dijadualkan pada Sabtu ini dengan pengundian awal berlangsung hari ini.


