Pengerusi SPR Ramlan Harun dalam sidang media sempena hari pengundian awal PRN Johor di Kem Mahkota, Kluang.
KLUANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penuh PRN Johor dapat diketahui sekitar 10 malam pada hari pengundian Sabtu ini.
Pengerusi Ramlan Harun berkata, pihaknya tidak akan mengumumkan keputusan secara berperingkat, sebaliknya hanya mengeluarkan keputusan penuh selepas proses pengiraan selesai.
“Kita menjangkakan keputusan penuh sebelum 12 malam, dengan sistem yang telah dinaik taraf, kita harap boleh capai sekitar pukul 10 malam.
“Kita tidak keluarkan keputusan awal. Kita akan keluarkan keputusan penuh,” katanya pada sidang media sempena hari pengundian awal PRN Johor di Kem Mahkota, Kluang.
Ramlan turut menggesa semua pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian, 11 Julai ini.
“Kami amat berharap semua pengundi yang layak mengundi keluar mengundi beramai-ramai. Ini peluang untuk kita sama-sama menyumbang kepada negara melalui sistem demokrasi yang kita pegang selama ini.
“Saya mengharapkan semua pengundi tanpa mengira lapisan umur keluar mengundi beramai-ramai pada 11 Julai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sehingga hari ini, SPR menerima 588 laporan kesalahan pilihan raya, selain 44 laporan polis dan tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengundian awal PRN Johor berlangsung hari ini membabitkan anggota tentera, polis serta pasangan masing-masing yang layak mengundi.


