Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap delegasi Majlis Perbandaran Kangar diketuai Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth, di Galeri DiRaja Arau. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Perlis wajar dipacu sebagai makmal terbaik untuk menguji dasar kelestarian ke arah menjadi ‘negeri pintar hijau’ atau ‘green smart state’.
Baginda bertitah, saiz Perlis yang kecil memberi kelebihan kepada negeri itu untuk menjadi antara negeri awal di Malaysia menggunakan sepenuhnya tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan biojisim, selain melaksanakan sistem pengurusan sisa pintar.
Menurut baginda, kejayaan mencapai status sifar karbon seperti dirancang akan membuktikan Perlis tidak ketinggalan dalam mendukung agenda global berkaitan perubahan iklim.
Titah itu disampaikan sempena sesi mengadap delegasi Majlis Perbandaran Kangar (MPKangar) diketuai Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth di Galeri DiRaja Arau.
Turut hadir Setiausaha MPKangar yang baharu, Redzuan Jaris, bersama beberapa pengarah jabatan dan unit.
Pada sesi itu, Affendi menyembah maklum MPKangar terus komited merealisasikan agenda pembangunan mampan melalui penyediaan Pelan Tindakan Bandar Hijau atau Green City Action Plan (GCAP).
Beliau berkata pelan itu akan menjadi dokumen strategik bagi memacu pembangunan rendah karbon, meningkatkan daya tahan bandar dan memperkukuh usaha mitigasi perubahan iklim di Perlis.
Menurutnya, GCAP disediakan melalui kerjasama Kementerian Ekonomi, IMT-GT Joint Business Council, ICLEI – Local Governments for Sustainability dan Asian Development Bank.
“Dokumen ini diluluskan di peringkat MPKangar pada 10 Feb dan akan menjadi panduan utama dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar hijau di Perlis,” katanya.
Affendi berkata, pelan itu bertujuan mewujudkan bandar yang lebih hijau, berdaya tahan, rendah karbon dan mampan melalui pembangunan yang mengimbangi aspek ekonomi, sosial serta alam sekitar.
Katanya, pelan berkenaan juga selaras dengan aspirasi negara mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan komitmen Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Beliau berkata, lima projek keutamaan dikenal pasti sebagai pemangkin pelaksanaan GCAP bagi mempercepat transformasi Perlis ke arah negeri lebih hijau dan rendah karbon.
Antara projek dicadangkan ialah pemasangan sistem fotovoltaik solar di bangunan kerajaan, awam dan persendirian, selain penyediaan Pelan Mobiliti Rendah Karbon.
MPKangar turut mencadangkan pembangunan zon mikro-mobiliti dan pengangkutan tidak bermotor serta kemudahan Material Recovery Facility berkapasiti 80 tan sehari bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kadar kitar semula.
Selain itu, pelan berkenaan turut merangkumi penyediaan Pelan Pengurusan Bencana Negeri Perlis dan pemerkasaan Perlis Integrated Command Centre bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana.
Affendi berkata, pelaksanaan sistem penuaian air hujan secara menyeluruh di Perlis juga menjadi antara inisiatif utama bagi memperkukuh pengurusan sumber air secara mampan.
Pelaksanaan GCAP dijangka menjadi pemangkin transformasi Perlis ke arah negeri lebih mampan, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan mesra alam, selain mewujudkan persekitaran lebih bersih serta sihat untuk rakyat.


