Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata SPR diberikan tempoh dua tahun dari tarikh notis rasmi disiarkan untuk menyiapkan kajian persempadanan semula, selaras Perlembagaan Persekutuan. (Gambar Azalina Othman)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses akhir menyediakan syor persempadanan semula bagi Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Menurutnya, SPR mengambil kira rang undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
“Berdasarkan input yang diterima daripada SPR, tempoh lapan tahun (bagi persempadanan semula Sarawak) berakhir pada 21 Ogos 2023.
“Ketika ini, SPR dalam proses akhir penyediaan syor untuk persempadanan semula bahagian pilihan raya bagi Sarawak, dengan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN yang diluluskan DUN Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Azalina berkata, SPR akan memaparkan syor itu dalam masa terdekat, yang menandakan bermulanya kajian persempadanan semula secara rasmi di bawah Perkara 113(9) Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, SPR diberikan tempoh dua tahun dari tarikh tersiarnya notis rasmi untuk menyiapkan kajian itu, selaras Perlembagaan Persekutuan.
Tetapi, beliau tidak menyatakan jika kajian itu akan diselesaikan sebelum pembubaran DUN Sarawak.
Azalina menjawab soalan Richard Rapu (GPS-Betong) jika kerajaan boleh memberi jaminan SPR dapat menyelesaikan proses persempadanan semula sebelum DUN Sarawak dibubarkan.
Richard berkata, penggunaan berterusan 82 kerusi sedia ada bukan sahaja bertentangan keputusan perundangan Sarawak, tetapi turut menafikan keperluan pembangunan mendesak di kawasan luar bandar yang luas.
Kali terakhir Sarawak mengadakan PRN pada Disember 2021. Penggal DUN semasa akan tamat pada Februari 2027, melainkan ia dibubarkan lebih awal. Justeru, PRN perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, PRN akan datang dijangka menggunakan 82 kerusi sedia ada, jika 17 kerusi tambahan tidak diluluskan tepat pada masanya oleh SPR.


