KTMB tambah tempat duduk bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) ke Johor susulan permintaan tinggi, hujung minggu ini.
PETALING JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 7,464 tempat duduk tambahan bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS), susulan permintaan tinggi penumpang untuk pulang mengundi PRN Johor, Sabtu ini.
Perkhidmatan tambahan itu melibatkan laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral serta JB Sentral-Gemas-JB Sentral, yang akan beroperasi dari 10 hingga 12 Julai.
KTMB berkata penambahan itu dibuat selepas tiket tren tambahan yang mula dijual pada 19 Jun lalu habis dijual.
Bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan rel, KTMB turut menawarkan tambang promosi 20% bagi perkhidmatan ETS tambahan di laluan terbabit.
Orang ramai khususnya pengundi disaran merancang perjalanan serta membuat pembelian tiket lebih awal secara tanpa tunai melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB atau mesin kios di stesen terpilih.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau layari platform media sosial rasmi agensi berkenaan.


