Amira Aisya Abdul Aziz ulas kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi pembentukan kerajaan Johor.
PETALING JAYA: Muda kini memfokuskan untuk memenangkan calonnya dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bergabung di bawah blok progresif pada PRN Johor, Sabtu ini.
Presidennya Amira Aisya Abdul Aziz menekankan perkara itu apabila mengulas kemungkinan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi pembentukan kerajaan Johor.
Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali dipetik berkata PN masih mampu membentuk kerajaan baharu Johor dengan sokongan Muda.
Amira pula memberitahu FMT hari ini yang fokus Muda sekarang untuk terus bawa dasar beri kemenangan kepada rakyat.
“Kita lancarkan Kontrak Muda Johor yang tekankan keperluan untuk terus beri perhatian kepada ekonomi inklusif untuk rakyat, reformasi DUN dan fokus kepada iklim serta alam sekitar.
“Calon-calon Muda juga kerap kali menekankan dasar-dasar penting yang langsung tidak disebut oleh parti-parti besar, seperti isu pusat data dan perubahan iklim.
“Dalam tempoh-tempoh terakhir ini, Muda akan menumpukan sepenuh tenaga dan masa untuk memberi kemenangan kepada calon Muda dan blok progresif,” katanya.
Muda bertanding di empat kerusi iaitu Simpang Jeram, Puteri Wangsa, Bukit Batu dan Maharani.
Rakannya dalam blok progresif, PSM pula meletakkan calon di Skudai.


