KKM berkata, langkah itu diambil agar kepentingan pelajar farmasi terlibat diberi perhatian sewajarnya tanpa jejas standard profesional dan kompetensi yang ditetapkan untuk berdaftar serta mengamalkan bidang itu di Malaysia. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan kelayakan pelajar farmasi Universiti Alexandria, Mesir, yang terjejas susulan perubahan program pengajian universiti itu, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371).
KKM berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kepentingan pelajar terlibat diberi perhatian sewajarnya tanpa menjejaskan standard profesional dan kompetensi yang ditetapkan untuk berdaftar serta mengamalkan bidang itu di Malaysia.
“Penilaian awal kelayakan individu pelajar melalui semakan transkrip akademik dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan dijalankan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Farmasi Malaysia (LFM),” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, pelajar yang terlibat akan dihubungi segera bagi membolehkan penilaian awal dibuat terhadap kelayakan masing-masing.
Sebelum ini, pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian farmasi di Universiti Alexandria dilaporkan berdepan masalah apabila program PharmD yang diikuti tidak diiktiraf LFM untuk membolehkan mereka menduduki peperiksaan Poison Law, iaitu antara syarat yang perlu dipenuhi sebelum berkhidmat sebagai ahli farmasi di Malaysia.
KKM berkata, Universiti Alexandria sebelum ini menawarkan program Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy) yang telah diiktiraf oleh LFM.
Bagaimanapun, pada 2019, universiti itu menggantikan program terbabit dengan Bachelor of Pharmacy – PharmD dan Bachelor of Pharmacy – PharmD (Clinical Pharmacy), yang mempunyai struktur kurikulum berbeza dan belum melalui proses penilaian serta pengiktirafan oleh LFM.
“Sejak isu ini dikenal pasti, KKM telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk libat urus dengan pihak berkepentingan dan pihak universiti bagi membolehkan proses penilaian program dilaksanakan,” katanya.
KKM menegaskan pertimbangan khas terhadap pelajar terjejas itu tidak mengetepikan keperluan untuk program farmasi baharu menjalani proses pengiktirafan mengikut tatakelola yang ditetapkan.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan hanya program farmasi yang memenuhi standard profesional diberi pengiktirafan di Malaysia.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Education Malaysia Mesir dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan terus membantu serta memudah cara proses permohonan pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria.


