Aminolhuda Hassan yang juga pengerusi PH Johor berkata gabungan putuskan untuk serahkan kerusi DUN Endau, Pulai Sebatang dan Senggarang untuk ditandingi PKR. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU: Amanah berhasrat merampas semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya sebelum ini termasuk Parit Yaani dan Kota Iskandar pada PRN Johor.
Ketua Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata DUN tersebut antara 19 kerusi akan ditandingi Amanah, selain Simpang Jeram, iaitu kerusi tunggal dimenangi parti itu pada PRN 2022.
“Amanah turut akan meletakkan calon di Permas, Kemelah, Tenang, Serom, Maharani dan Bukit Pasir,” katanya kepada Bernama.
Aminolhuda yang pernah memenangi kerusi DUN Parit Yaani atas tiket PAS pada 2013 dan PH-Amanah pada 2018 berkata walaupun beberapa kawasan diketahui kubu kuat Barisan Nasional (BN), Amanah tekad memberikan saingan sengit pada PRN kali ini.
Beliau berkata parti itu turut menaruh keyakinan terhadap peluang di kawasan pinggir bandar.
Sementara itu, beliau yang juga pengerusi PH Johor berkata gabungan itu telah membuat keputusan menyerahkan kerusi DUN Endau, Pulai Sebatang dan Senggarang untuk ditandingi PKR.
Berhubung kerusi DUN Puteri Wangsa dan Larkin yang dikaitkan dengan rundingan sesama parti komponen PH, Aminolhuda berkata setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenai pengagihan dua kerusi tersebut.
Pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Puteri Wangsa dimenangi Muda menerusi Puteri Amira Aisya Abd Aziz dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru manakala DUN Larkin dimenangi BN menerusi Mohd Hairi Mad Shah dengan majoriti 6,178 undi.
Pada PRN kali ini, DAP akan bertanding di 17 kerusi DUN manakala PKR di 20 DUN.
PRN Johor ditetapkan pada 11 Julai dengan penamaan calon pada 27 Jun.

