Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah (tengah), Presiden Persatuan Hoki veteran Sultan Ahmad Shah, Tengku Fahad Mu’adzam Shah (kiri), pengerusi penganjur pengumpulan dana Rasphal Singh Randay (kanan) bersama para penaja.
KUALA LUMPUR: Kerjaya sukan lazimnya berakhir dengan sepi – tiada lagi sorakan peminat, kasut sukan disimpan rapi dan kejayaan masa lalu diketepikan demi melalui realiti kehidupan seharian.
Veteran hoki Malaysia bagaimanapun memilhi haluan berbeza.
Selama lebih empat dekad, Persatuan Hoki Veteran Sultan Ahmad Shah (SAS) memastikan persaraan tidak semestinya bererti permainan telah berakhir.
Semalam, komitmen berkenaan mendapat pengiktirafan terbesar apabila persatuan itu berjaya mengumpulkan RM1.36 juta untuk menyokong lima pasukan lelaki Malaysia yang bakal bertanding di Piala Dunia Hoki Masters 2026 di Netherlands dan Belgium.
Jumlah itu mencecah RM1.1 juta sebelum penaja dan rakan korporat menjanjikan sumbangan RM260,000 lagi dalam sebuah acara di St Regis, Kuala Lumpur.
Bagi kebanyakan pemain, sokongan itu bukan sekadar satu bantuan kewangan. Yuran pendaftaran, tiket penerbangan, kos penginapan, peralatan dan insurans lazimnya memang dibayar sendiri, walaupun selepas berdekad-dekad terlibat dengan hoki Malaysia.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mendendangkan lagu tanda penghargaan kepada penaja.
Mereka terus bermain kerana hoki bukan sekadar satu acara sukan sebaliknya membentuk persahabatan, wawasan dan ikatan sepanjang hayat.
Pelaburan insan, bukan sekadar himpun dana
Presidennya Tengku Fahad Mu’adzam Shah menyifatkan kempen itu sebagai pelaburan terhadap insan dan bukan sekadar usaha menghimpunkan dana.
“Sumbangan anda bukan sekadar satu derma. Ia merupakan pelaburan dalam sukan Malaysia, kehidupan sihat dan kebanggaan negara,” katanya.
Beliau menggesa rakan korporat, agensi dan penyokong supaya terus menyokong kempen itu supaya tiada rakyat Malaysia akan terlepas peluang untuk mewakili negara disebabkan kekangan kewangan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Shmad Shah (tengah), presiden persatuan Tengku Fahad Mu’adzam Shah (kiri) dan Rasphal Singh Randay (kanan) menerima cenderahati.
Malaysia akan membariskan pemain untuk bertanding dalam kategori 40 tahun, 45 tahun, 50 tahun, 60 tahun serta 65 tahun dalam perlawanan yang bakal berlangsung dari 22 Julai hingga 16 Ogos. Semuanya terbukti mewakili pemain yang enggan membiarkan kerjaya sukan mereka tamat disebabkan usia.
Komitmen mereka terus menunjukkan hasil positif. Pada pertandingan Piala Asia di Hong Kong tahun ini, pasukan kategori 50 tahun menang buat kali pertama, manakala pasukan kategori 60 tahun berjaya mempertahankan kejuaraannya.
Kemenangan itu nyata hasil disiplin, persediaan dan komitmen bertahun-tahun.
Sementara itu acara berkenaan turut meraikan hubungan berpanjangan sukan hoki dengan keluarga Diraja Pahang.
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengucapkan terima kasih dengan mendendangkan dua lagu – “Kisah Seorang Biduan” dan lagu Hindi “Kuch Kuch Hota Hai” – tanda sokongan berterusan keluarganya terhadap sukan berkenaan.
Sultan Pahang yang juga bekas pemain hoki dan mantan presiden Konfederasi Hoki Malaysia, meneruskan legasi yang dimulakan ayahanda baginda.
Almarhum Sultan Ahmad Shah mengasaskan SAS bersama rakan veteran dan pegawai pada 1981 untuk membawa bekas pemain kembali ke arena sukan itu selain memastikan hoki veteran masih ada tempat di Malaysia.
Kini, 45 tahun kemudian wawasan itu diteruskan di bawah Al-Sultan Abdullah yang kemudian menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada adindanya Tengku Fahad Mu’adzam Shah.
Bersama timbalan presiden Majid Manjit Abdullah dan naib presiden Surinder Singh, program itu diperkukuhkan seterusnya memberi pemain veteran latihan, sokongan dan peluang diperlukan untuk membolehkan mereka terus mewakili Malaysia
Pencapaian terbesar SAS adalah komuniti dengan ikatan persahabatan bermakna, manakala jersi kebangsaan kekal bermakna, dan persaraan sekadar menjadi permulaan baharu.
Lazimnya, kerjaya sukan berakhir dengan sepi. Veteran hoki Malaysia enggan membiarkan kerjaya mereka tamat begitu saja.


