Presiden PDP Tiong King Sing hadir ceramah PH di Johor awal minggu ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengambil serius kehadiran naib pengerusinya Tiong King Sing di satu ceramah Pakatan Harapan (PH) di Johor merupakan satu langkah berhati-hati oleh gabungan pemerintah negeri itu, kata penganalisis.
Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, walaupun GPS melarang ahlinya mengambil bahagian dalam kegiatan pilihan raya di luar Sarawak, gabungan itu tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Bintulu itu kerana beliau ‘tokoh politik’.
Selain Ahli Parlimen, Tiong juga presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan menteri pelancongan pada peringkat persekutuan.
Awang Azman berkata, sebarang tindakan terhadap Tiong mampu memberi gambaran wujudnya pecah-belah dalam GPS, terutama melihat tegangnya hubungan antara PDP dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak.
Awang Azman Pawi.
Tambahnya, GPS juga harus menjaga hubungan strategik dengan kerajaan persekutuan pimpinan PH, justeru sebarang tindakan terhadap Tiong akan menghantar isyarat yang salah kepada Putrajaya.
“Pendekatan GPS menjarakkan diri daripada Tiong sebenarnya satu bentuk mengawal keadaan. Ini membantu GPS kekal neutral di Johor dan mengelak mencetuskan krisis dalaman,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, kata Awang Azman, tindakan Tiong akan memberi gambaran beliau menikmati sedikit autonomi politik memandangkan ini bukan kali pertama beliau ‘turun padang’ di luar Sarawak.
Pada November, Tiong berkempen untuk calon PH di Merotai Ruji Ubi yang nampak seolah-olah melanggar direktif GPS mengenai penyertaan dalam pilihan raya di Sabah.
Tiong kemudian menafikan melanggar direktif itu, manakala sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mendakwa Ahli Parlimen Bintulu itu berkempen di Sabah dalam kapasiti sebagai menteri persekutuan.
Awang Azman berkata, tindakan Tiong memberi gambaran pemimpin GPS lebih selesa bekerja dengan PH dalam konteks kerajaan persekutuan.
Dalam pada itu, ia dikhuatiri mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan komponen GPS lain memandangkan tindakan satu ahli mungkin dilihat sebagai pendirian gabungan itu.
Pada Selasa, Ketua Penerangan GPS Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Tiong menghadiri ceramah itu atas kapasiti peribadi yang tiada kaitan dengan gabungan itu.
Ceramah itu turut dihadiri Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
“Spekulasi mengaitkan GPS dengan kempen politik seperti itu sama sekali tidak benar,” katanya menambah, mereka kekal konsisten enggan terlibat dalam kempen pilihan raya di negeri lain.
Sementara itu, James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, tindakan Tiong tiada kesan terhadap GPS kerana pemimpin-pemimpinnya sedia maklum dengan sikap Tiong.
James Chin.
“Pemimpin GPS tidak akan menegur Tiong depan-depan agar berhenti melakukannya,” katanya.
Beliau menyifatkan kenyataan dikeluarkan Karim itu sebagai kenyataan ‘standard’.
“Ia sama dengan kenyataan dikeluarkan ketika beliau di Sabah, menegaskan itu tindakan peribadinya, tiada kaitan dengan GPS,” jelasnya.
Chin senada Awang Azman menganggap GPS tidak akan mengambil tindakan terhadap Tiong, malah berkata, GPS tidak menegurnya walaupun menerima aduan ketika konvensyen gabungan.
“Sebabnya mudah: pilihan raya negeri bakal menjelang dan mereka tidak mahu mengeruhkan keadaan.”
Sarawak mesti mengadakan pilihan raya paling lewat sebelum April tahun depan.


