Dalam kejadian di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan semalam, tiga termasuk seorang doktor dilaporkan meninggal dunia manakala enam lagi cedera. (Gambar JBPM)
KUANTAN: Pemandu sebuah pikap yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga individu di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan, semalam memiliki enam rekod saman termasuk dua kesalahan memotong di garisan berkembar.
Ketua Polis Pekan, Mohd Zaidi Mat Zain, berkata pemandu lelaki berusia 31 tahun itu kini masih menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.
“Polis telah ambil sampel darah dan air kencing pemandu bagi ujian toksikologi,” katanya di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam nahas melibatkan tiga kenderaan kira-kira 6 petang semalam itu, tiga termasuk seorang doktor dilaporkan meninggal dunia manakala enam lagi cedera.
Mereka yang maut ialah Dr Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, yang bertugas di Hospital Segamat, Johor dan anaknya Dhea Sofia berusia dua tahun serta pegawai kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, Selangor Azaharuddin Mohd Ali, 46.
Siasatan awal mendapati ketika kejadian, sebuah pikap dari arah Kuantan menghala ke Muadzam Shah dipercayai cuba memotong sebuah lori telah terlanggar lopak air, sebelum hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan dua kenderaan dipandu pegawai perubatan dan pegawai kanan LHDN itu.


