Keputusan Lee Chean Chung dibuat seminggu selepas beliau kehilangan akses kepada MyKhas iaitu portal yang menguruskan peruntukan Ahli Parlimen.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti.
Dalam hantaran di Facebook, Lee berkata beliau kekal sebagai ahli PKR dan akan terus berkhidmat di Dewan Rakyat sehingga Parlimen dibubarkan.
Keputusan Lee meninggalkan MPP dibuat seminggu selepas beliau kehilangan akses kepada MyKhas iaitu portal yang menguruskan peruntukan Ahli Parlimen.
Lee juga antara Ahli Parlimen PKR hadir pelancaran Parti Bersama Malaysia pada 17 Mei, yang diambil alih oleh bekas pemimpin PKR Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam kenyataannya, Lee mengimbau 18 tahun bersama PKR, termasuk pernah berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di pejabat presiden parti merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, memenangi kerusi DUN Semambu pada 2013, kemudian memegang beberapa jawatan seperti bendahari agung dan pengarah komunikasi.
Beliau turut menekankan penglibatannya dalam beberapa kempen parti, termasuk #KitaLawan serta usaha untuk mendapatkan pembebasan Anwar selepas dipenjarakan pada 2015.
Lee berkata, pengundi di Petaling Jaya telah dihukum pada 29 Mei apabila aksesnya kepada sistem MyKhas dibatalkan, menyebabkan tidak lagi dapat meneruskan urusan peruntukan kawasan dan program mesra rakyat.
Beliau berkata, PKR masih belum memberikan penjelasan rasmi kepadanya atau pengundi kawasan terbabit mengenai tindakan itu, dan hanya seorang timbalan setiausaha agung membuat kenyataan media menyatakan bahawa ini adalah akibat daripada pilihan politik.
“Tuntutan saya sangat mudah. Saya berharap parti dapat memberikan satu penjelasan yang munasabah,” katanya.
“Sekiranya saya mengidamkan sumber dan kemudahan, saya tidak akan menyertai demonstrasi tanpa ragu-ragu sebaik Anwar dipenjarakan, sehingga hampir kehilangan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pencen saya sendiri ketika itu.
“Begitu juga pada hari ini. Jikalau apa yang saya mahu hanyalah peruntukan, boleh sahaja saya memilih untuk berdiam diri seperti ramai yang berada dalam parti, agar semua berjalan lancar seperti biasa, seolah-olah tiada kesilapan yang perlu diperbetulkan.”


