Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung gangguan seksual pelajar melaporkan terus kepada pihak berkuasa, bukannya memuat naik ke media sosial. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) menolak dakwaan ia hanya bertindak atas dakwaan salah laku membabitkan guru selepas kes sedemikian tular.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menegaskan setiap kali kes sedemikian berlaku, ibu bapa dan guru akan melaporkan kepada pihak berkuasa, yang kemudian menjalankan siasatan menyeluruh.
Jelasnya, tindakan lanjut juga diambil, seperti membawa pelajar terbabit ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan perlindungan.
Tetapi, beliau menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) peka terhadap kes sedemikian dan tidak menunggu sehingga ia mencetuskan kontroversi dalam talian sebelum mengambil tindakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai gangguan seksual dan kes lain perlu melaporkannya terus kepada pihak berkuasa. Jangan guna media sosial untuk melaporkannya. Lapor kepada pihak berkuasa adalah tindakan betul.
“Oleh itu, kami meminta semua orang mengambil pendirian ini dengan tegas kerana ia melibatkan kanak-kanak yang perlu dilindungi,” katanya dalam sidang media di SJKC Heng Ee, di sini.
Beliau mengulas kes seorang guru di Sarawak yang didakwa melakukan salah laku seksual terhadap seorang pelajar sebelum dipindahkan ke PPD.
Jabatan Pendidikan Sarawak dipetik Berita Harian sebagai berkata, ia langkah sementara kerana polis sedang menjalankan siasatan.
Fadhlina berkata, garis panduan keselamatan sekolah baharu yang dilancarkan semalam menggariskan tanggungjawab kolektif yang perlu dipikul sekolah, guru dan pihak mengendalikan kes membabitkan kanak-kanak.
Dalam kes berasingan, Fadhlina berkata, siasatan dalaman sedang dijalankan selepas seorang murid Tahun Enam di Perlis dilaporkan cedera apabila seorang rakan sekelasnya menarik kerusinya ketika dia hendak duduk.
Kejadian itu berlaku Februari lalu, tetapi Bernama semalam melaporkan pelajar perempuan 12 tahun itu tidak dapat hadir ke sekolah hampir empat bulan akibat kecederaan tisu lembut pada bahagian belakang pinggang.
Mangsa turut didiagnosis mengalami gangguan fungsi serta gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) susulan kejadian pada 11 Feb itu.

