Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar ambil alih jawatan ketua pembangkang selepas Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin letak jawatan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kembali sebagai ketua pembangkang, umum Presiden PAS Hadi Awang.
PAS membuat ketetapan ini selepas mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen PAS serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan Hamzah, katanya di hadapan beberapa pemimpin PN hari ini.
“PAS membuat keputusan bersetuju meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang,” kata Hadi, ketika berucap pada konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan.
Konvensyen dihadiri beberapa Ahli Parlimen Bersatu dikaitkan dengan Hamzah, seperti Ronald Kiandee (Beluran) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid).
Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Gerakan Dominic Lau.
PN mengumumkan Hamzah bukan lagi ketua pembangkang pada April. Samsuri mengambil alih peranan tersebut pada Mei.
Hamzah melepaskan jawatan di sebalik desakan pemimpin Bersatu, selepas beliau dipecat susulan krisis kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Hamzah memegang jawatan timbalan presiden Bersatu sebelum dipecat.
Sementara itu, Hadi mengumumkan PAS mahu Samsuri kekal sebagai pengerusi PN.
Samsuri, yang merupakan naib presiden parti, mengambil alih jawatan pengerusi pada Februari selepas pengunduran Muhyiddin pada Januari, susulan kemelut politik di Perlis.
“Kita mengekalkan Samsuri sebagai pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.
BERITA LANJUT MENYUSUL

