Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menerima taklimat berhubung kejadian kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis. (Gambar MAIPs)
PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menziarahi mangsa kebakaran di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, hari ini.
Dalam lawatan itu, baginda turut menyampaikan sumbangan awal daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada keluarga terjejas.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pendidikan, Perpaduan, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Marzita Mansor dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sebanyak lapan keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin mengingatkan masyarakat sentiasa mengutamakan aspek keselamatan di rumah, termasuk memeriksa sistem pendawaian elektrik secara berkala bagi mengelakkan litar pintas.
“Masyarakat digesa memeriksa sistem pendawaian elektrik rumah secara berkala bagi mengelakkan litar pintas.
“Sentiasa matikan suis dan cabut palam peralatan elektrik yang tidak digunakan sebelum keluar rumah, serta elakkan menggunakan soket secara berlebihan,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan orang ramai supaya mengikis sikap “3L” iaitu lupa, lalai dan leka, terutama ketika memasak atau mengendalikan bahan mudah terbakar.
“Kesedaran awal ini sangat penting bagi melindungi keselamatan nyawa dan harta benda jiran tetangga,” titah baginda.
MAIPs bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat kini menyelaraskan bantuan susulan kepada semua mangsa terjejas.


