Ketua Polis Kuching Alexson Naga Chabu, berkata mangsa hanya diberikan pulangan RM1,000 selain gagal mengeluarkan wang pelaburan menggunakan aplikasi ‘TBGIA’.
PETALING JAYA: Warga emas kerugian RM9 juta susulan terpedaya sindiket pelaburan saham dan tawaran awam permulaan (IPO) tidak wujud menerusi aplikasi dalam talian.
Ketua Polis Kuching Alexson Naga Chabu, berkata lelaki berusia 79 tahun itu hanya diberikan pulangan RM1,000, selain gagal mengeluarkan wang pelaburan menggunakan aplikasi ‘TBGIA’.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mula berkenalan dengan suspek sekitar Januari lalu sebelum ditawarkan peluang melabur dalam skim pelaburan saham dan IPO didakwa mampu memberikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang yakin dengan tawaran itu kemudian membuat pemindahan wang secara berperingkat sebanyak 27 transaksi ke dalam sembilan akaun bank berbeza diberikan suspek.
“Keseluruhan jumlah wang yang dipindahkan adalah RM9,082,000, namun mangsa hanya menerima pulangan sebanyak RM1,000 daripada pelaburan tersebut,” katanya menurut Berita Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.


